Qasidah terluka,kali ini lukanya tak sebegitu parah tapi cukup untuk merentap hatinya.Hati wanitanya memang mudah tersentuh lantaran dek kenangan lalu yang banyak merapuhkan jiwa.Hanya dengan sebaris ayat sudah mampu membisikkan api kemarahan dalam diri.Dia menangis,bukan kerana terluka tapi kerana kegagalan diri mengawal emosi.Marah itu api.Api,jika sekecil tapak tangan,mampulah kita mengawalnya,tapi jika dibiarkan merebak,siapa kita untuk menghentikannya.Qasidah tidak mahu dirinya menzalimi jasad yang dianugerahkan Allah ini seperti mana yang pernah dilakukannya pada masa lalu.Dia takut,jika jasadnya kelak akan menyalahkannya di hadapan Yang Maha Agung atas kegagalannya itu.
Dia selalu berasa dirinya tidak dihargai,seolah apa yang dilakukannya selama ini,tidak bermakna buat mereka.Sifat ikhlas dan qanaah menjauhi diri.Hanya dengan sebab itu,hatinya mula berdarah.Berdarah kerana mereka tidak mengendahkannya,berdarah kerana mereka memperlekehkannya,berdarah kerana dia terlalu merasakan dirinya beban segala.Qasidah bingkas bangkit dari pembaringannya,mengesat sisa air mata.”Duhai hati,mengapa kau begitu?” Lembut tutur Qasidah,sambil mengusap dadanya bagaikan memujuk diri yang tak terpujuk.
Bukankah Ustazah selalu berpesan,”Husnuzon mengelak sengketa,husnuzon menjauhkan dendam,husnuzon menyemai sayang”.Teringat Qasidah pada Ustazah Saleha yang selalu menjadi tempat dia mengadu dan menumpang manja.Qasidah masih lagi duduk di birai katilnya,memegang diari yang mencatat segala kisah hidupnya,yang menjadi teman akrabnya bila bersendirian.Lalu,Qasidah berasa malu pada dirinya sendiri,malu pada Yang Maha Agung,malu pada mereka.”Aku terlalu cepat menghukum,sedangkan aku tidak punya hak itu.Aku tunduk pada bisikan makhluk terkutuk itu.Aku lupa bahawa manusia itu fitrahnya tidak sempurna,tiada yang sempurna melainkan Yang Maha Agung.Aku lupa bahawa Rasulullah selalu menganjurkan kita supaya memaafkan kesilapan makhluk yang lain.Persengketaan hanya membawa bencana”.Lalu,sepotong ayat suci Al-Quran yang membawa maksud “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara,kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat” (49:10) dibacanya berulang kali.
Qasidah lalu bermuhasabah diri.Mungkin,ada perkara yang tidak dilakukannya dengan sesungguh hati,yang membuatkan jiwanya sering berantakan.Solat,ya solat.Bukankah solat mampu mencegah diri dari perbuatan keji dan mungkar? (29:45).Marah itu bisa saja menjadi salah satu cabang perkara yang keji dan mungkar.Dia teringat akan pesan Ustaz yang menjadi penceramah dalam satu sesi kuliah maghrib yang diadakan di surau berdekatan rumahnya.Kata Ustaz,”Orang yang tetap dalam melaksanakan solatnya bukan hanya semata mereka yang terus-terusan melakukan solat fardhu 5 waktu sehari semalam ,tetapi mereka juga tetap dalam keadaan menghambakan diri kepada Allah dari bermulanya takbiratul ihram sehingga memberi salam,yakni khusyuk dalam solatnya”.Mata Qasidah mula berkaca.”Ya Rabb,apakah solatku selama ini Kau terima?Apakah aku tergolong dalam golongan mereka yang tetap hatinya melaksanakan solat,tiang agamaMu?” Ustaz kemudian menambah lagi,”Sebab itu kita perlu mengetahui makna-makna bacaan di dalam solat,paling kurang pun,jika tidak mampu,cuba ingatkan huruf-huruf dan kalimah-kalimah surah,ayat dan zikir yang kita baca di dalam solat.Mudah-mudahan khusyuk itu lahir,kerana itu Allah telah mengurniakan kita dengan satu hati.Hati yang satu mana mungkin boleh menerawang kepada perkara lain jika kita sedang fokus dalam sesuatu pekerjaan,yakni dalam perkara ini,fokus terhadap apa yang kita baca,menghayatinya.Wallahua’alam.” Satu-persatu penjelasan Ustaz dicatat,buat bekalan jika terlupa.
Kini,Qasidah mengerti,begitu besar penghayatan solat dalam membentuk peribadi diri.Kerana di dalam solat,kita berserah diri,di dalam solat,kita memohon petunjuk Yang Maha Agung,paling kurang pun,17 kali sehari.Kepada mereka,Qasidah nekad untuk memohon ampun atas fikiran buruknya.Kepada mereka,Qasidah malu kerana sifat dendamnya.Kepada Kekasihnya,Qasidah ingin sekali menjadi muslimah yang solehah,yang akan menghuni taman-taman syurga.Langkahnya diatur teliti,supaya kaki tidak tersadung lagi.