Sunday, August 2, 2009

Dia,yang belum bernama.

Post ini panjang,benar panjang.Jadi,bersedialah.

Tengahari itu,ketika itu,aku sedang melakukan rutin di dalam bilik dan Mak sedang bersiap untuk ke kenduri jiran tetangga.Saat itu,panggilan dari Abang berdering.Aku dengar suara kerisauan Mak dan yang terlintas di akal sihatku adalah Kakakku.Telahan benar.K.Ina dikejarkan ke hospital kerana tekanan darah tinggi,bagaimana kondisinya?Bagaimana Si kecil pula?Yang kedengaran adalah esak tangis Abang.Berbekalkan sedikit ilmu yang ada,aku sujud menghadapNya,memohon dengan segala kekuatan,moga Kakak dan anak di dalam kandungannya selamat.

Kami bergegas ke Taiping kerana Hospital KK kekurangan tenaga pakar,mungkin.Sampai-sampai sudah hampir jam 3 petang.Mereka yang di kampung sudah tiba dahulu.ICU,itulah tempat Kakak aku ditempatkan.Berita yang diterima mengkhabarkan yang bayi sudah selamat dikeluarkan dan K.Ina masih belum sedarkan diri akibat ubat bius yang diberikan doktor.24 jam tempoh masa yang diberikan untuk Kakak aku rehat serehat-rehatnya.Abang masih seperti tadi,belum menjamah sesuap makanan dan masih bersisa air mata.Dan Alesha tidak henti-henti menyebut nama ibunya.

Hati tak henti-henti memohon doa,dan di saat ini,fitrah sebagai hamba mengetuk pintu hati kami.Benar,kepadaNya sahaja tempat kita berharap.Kerana Dia sumber ketenangan dan kekuatan.Bersyukur dengan nikmat tauhid ini.Selang beberapa jam,ibu dan ayah K.Ina tiba dari Tanjung Karang.Ibunya kelihatan cekal dan aku tahu K.Ina mewarisi sifat cekalnya dari Ibunya.Kerana acap kali aku melihat,tiap berita yang kami terima sebelum ini,K.Ina antara insan yang tenang.Jarang sekali aku melihat air matanya tumpah,walau dia bergelar wanita.

Usai solat Asar,kami dibenarkan melawat K.Ina di dalam ICU,hanya dua pelawat dalam satu-satu masa.Aku mengambil giliran dan aku tak mampu bertahan lama berdiri di birai katilnya.Hati sebak melihat tompokan darah di perutnya,bekas dari pembedahan untuk mengeluarkan Si kecil.Nafas K.Ina ketika itu ku lihat sesak.Ya Rabb,aku runtun melihatnya begitu.Ayat suciMu jadi peneman.

"...kerana itu,bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al-Quran; Dia mengetahui bahwa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit,dan yang lain berjalan di bumi mencari sebahagian karunia Allah; dan yang lain berperang di jalan Allah,maka bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al-Quran dan laksanakanlah salat,tunaikanlah zakat dan berikanlah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik."(74:20)

Abang masih setia di sisinya.Cintanya masih mekar seperti selalu.Sebagai suami,pasti dia yang paling berat menanggung gelojak hati.UjianMu tak terduga Ya Rabb.Baru kelmarin aku lihat tangan dan kaki K.Ina bengkak-bengkak.Kata Cu,mungkin disebabkan K.Ina yang mandi malam,menyebabkan keadaan begitu.Dinamakannya "Bengkak air".

Aku keluar dari ICU,tak mampu aku menahan hati.Benar,sayunya terasa hingga ke ulu hati.Dijentik ujian setitik jarum pun aku menangis,inikan pula ujian ini.Aku,Mak dan Ayah kemudiannya diajak Abang untuk melawat Si kecil di bangunan berasingan,juga diletakkan di wad kecemasan bayi.Hanya Abang yang dibenarkan masuk ke dalam.Bagaimanakah Si kecil,baru menjengah dunia sudah terpisah dari Ibunya.Usia Si kecil baru tujuh bulan setengah di dalam kandungan.Kira-kira 10 minit Abang di dalam,dia keluar membawa 1 lagi berita.Menurut Doktor,harapan Si kecil untuk survive 50-50,dan sekiranya dia kuat bertarung nyawa,kemungkinan dia sihat dan kemungkinan juga dia bakal punya masalah.Abang menangis lagi.Hasrat Si Kakak untuk punya baby boy tercapai,tapi mungkinkah hasratnya itu terus mengiringi kehidupan Si kecil?Aku tak tahu apa mungkin reaksi K.Ina sekiranya dia menerima berita ini.Dalam sehari,berbagai yang telah dilaluinya.

Di saat ini,tatkala aku melangkah kembali ke kampus,berita terakhir yang aku terima,K.Ina sudah mula minta air,belum sedar sepenuhnya,hanya mampu bergerak sedikit.Tak dapat aku bayangkan kesakitan yang ditanggungnya.Dia tahu sekiranya dia mengandung lagi,dia bakal berhadapan risiko,tapi dia tetap gigih menyabung nyawa.Untuk itu,sekiranya ada anak-anak yang tak sayangkan ibunya,mari kita cepuk mereka beramai.

Aku pohonkan teman-teman,moga kalian bersamaku mendoakan Kakakku dan Si kecil,moga mereka diberikan kekuatan,moga Allah memberikan segala yang terbaik buat mereka.Ameen Ya Rabb.

4 comments:

:: abdussolehin :: said...

sangat tersentuh.pengorbanan seorang ibu tiada tolok bandingnya.semoga dia dan baby terus sihat sejahtera.tabahkan hati!

KA said...

InsyaAllah kedua2nya selamat
mak saudara komie pun baru je slmt melahirkan
masa tu anaknya pun dikatakan 50-50
tapi Alhamdulillah dah sihat dah pun
nama dia Adib Ajmal..comel..

C'Nor said...

hope sume ok..dun worie:P

HaWa DArLidA said...

insyaAllah sumenye akan fine..
dia seorang wanita yg tabah..