Monday, August 30, 2010

Cinta itu sama dengan satu.

Ilya dan pohon rambutannya. Sudah lama dia bersimbiosis dengan pohon itu.Pohon rambutan, hanyalah sebatang pohon, yang membantu pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida. Berkata tidak, mengerti mungkin. Walau apa jua musim yang ditempuh sebatang pohon nan rendang itu, Ilya tetap ke situ. Itulah jiwa, itulah hati, itulah pengarangnya. Di situ, Ilya membaitkan kata-kata indah untuk dia terus berimaginasi tentang kebahagiaan. Sebatang pen dan sebuah diari, itulah teman Ilya di pangkinan pohon rambutan. Mereka seakan suatu kumpulan jiwa yang berbicara melalui hati. Bicaranya halus, bisiknya menyulam indah. Sungguh, alam yang tenang itu turut meresap jauh di dalam jiwa kecil Ilya.


Ilya,gadis kecil yang bercita tinggi. Dia mahu jadi pendidik generasi hadapan. Ilya cintakan perasaan cinta. Baginya, cinta itu pohonan sakura yang lebat, bajanya kepercayaan. Gugurnya sakura bukan ditangisi, ia disambut dengan tangan-tangan girang yang menyambut indahnya suasana. Itu cinta, yang ada percaya, yang ada jiwa yang mengasihi. Sentuhannya tidak berbalas, hanya naluri yang mengalir. Indah bukan cinta?


Ilya ke pohon rambutannya lagi pagi ini.Ditatap seolah hari ini hari perpisahan mereka. Melepas segala resah jiwanya. Keperitan hatinya cuba diluahkan. Dia masih ingat ajaran Ustazah Hasnah.


“Di dalam badan kamu yang mulus ini, ada segumpal organ, yang jika baik kamu jaga ia, yang jika hebat kamu mendidiknya, maka hebat lah hasil produknya. Itulah hati.”


“Macam mana nak jaga hati tu Ustazah? Sedangkan hati kan di dalam badan kita?”


Ustazah Hasnah tersenyum manis. Ilya memang suka bertanya. Pertanyaannya kadang kala relevan untuk dijawab sekaligus memudahkan urusan Ustazah Hasnah mendidik anak didiknya yang lain.


“Jawapan Ustazah mungkin nampak mudah untuk dilakukan, tapi bukan semua orang boleh melakukannya. Pertama sekali, kita perlu sentiasa bersangka baik. Firman Allah di dalam surah Al-Hujurat;


Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Al-Hujuraat : 12)


Terngiang-ngiang pesan Ustazah Hasnah di cuping telinganya. Ilya teringat lemahnya dia dalam mendidik hatinya. Sangkanya Mama tidak sayangkannya. Mama tidak pedulikan usahanya. Mama lebih sayangkan kakaknya berbanding dirinya. Selalu sahaja dia merajuk dengan mama nya tiap kali dia ditegur. Buruk sungguh sangkaannya terhadap insan yang melahirkannya.

“Aku sudah cuba Manja (nama panggilannya kepada pohon rambutan). Aku sudah cuba mahu jadi terbaik di hadapan Mama. Seringkali jua lah aku malu sendiri di hadapan Mama. Kenapa Manja? Apakah Tuhan tidak mendengar doaku? Tuhan tidak menjawab doaku untuk jadi anak terbaik Mama kah Manja?”


Sepi.


“Aku sudah janji pada kau kan Manja, aku mahu jadi perempuan kuat. Aku tak mahu menangis untuk perkara kecil, tapi hatiku sakit Manja, sakit mengenangkan diriku. Apa harus aku buat Manja?”


Ilya malu. Malu dengan kelakuannya. Malu dengan tindakannya yang keanak-anakan. Tanpa sedar, mungkin saja dia sudah mengguris hati mama. Maafkan Ilya Ma. Maafkan. Perlahan Ilya menukil perkataan hatinya ke dalam diari.


“Tiap kali aku meniti jalan itu,
Pasti akan aku bayangkan di tapak tangan ini,
Ada kuntuman sakura yang mencecah,
Harumannya,warnanya,indahnya,cantiknya,lembutnya ia,
Siapa yang tidak terpana di situ.

Walau pudar warnamu sakura,
Aku yakin di sebalik lunturnya dirimu,
Ada kekuatan ghaib di sebalikmu,
Ada hijab yang belum lagi mereka terokai,
Ada merah berani yang belum dijajah.

Kerana itu sakura,
Aku percaya sakura itu tenang,
Aku menyimpulkan sakura itu mudah,
Mahukah aku menjadi setenang sakura?
Sakura berjuang untuk menandingi kuntuman mekar yang lain,
Di hadapan PenciptaNya sakura gugur,
Helaian demi helaian,
Gugurnya tak mahu digelar sebagai bunga layu.”


Ilya menutup diarinya kemudian menguis lembut pipinya.


“Maafkan Ilya Ma, Ilya akan usaha lagi untuk jadi anak solehah Mama. Ilya tak mahu jadi bunga Mama yang layu. Ilya akan usaha untuk tidak menjadi golongan orang-orang yang diaminkan Rasulullah saat Jibril mendoakan celaka untuk barang siapa yang tidak berbakti pada kedua ibu bapanya. Ilya tak mahu jadi orang yang rugi.”


Mama, nama itu hanyalah satu untuk setiap pengertian hidup. Panggilan itu hanya dituju pada seorang insan. Hilangnya dia, luluhlah jiwa. Lenyapnya dia dari pandangan, gelita lah alam. Sepinya hari tanpa suaranya, bisulah dunia. Mama hanya satu. Satu, bukan dua. Satu untuk dijaga, satu untuk dikasihi, satu untuk dicinta. Sukarkah untuk mencintai yang satu?


ps:Idea asal jalan cerita ini telah diolah gara-gara malas mahu mengcomplicatedkan cerita.Malas.Mungkin masa lain akan cuba berusaha dengan lebih gigih lagi mencari plot yang menarik.Berusaha!

1 comment:

Anonymous said...

such a beautiful story...
n yes i love my mama too =)
keep up the good work..