Friday, July 24, 2009

Ubatku datang Doktor!

Berita gempar,
Ini dugaan atau hikmah?
Adakah doaku dikabulkanNya?
Hatiku menemui ubatnya?

UiTM cuti seminggu,
Gara-gara H1N1,
Tiket hampir dibeli,
Mari kita raikan Law Dining malam ini dengan jayanya,
Kerana esok kita bakal pulang,insyaAllah :)

Khabarku,apa kau kira?

Aku karang ayat ini semalam buatmu,
"Kalau bisa saja ku alirkan cinta ini bersama rintiknya hujan,
Awan,mampukah kau bertahan?"
Hari terasa semakin menggugat,
Hati terasa semakin terhimpit,
Organ respiratori ku minta dibelai.

Sungguh perjalanan 3 tahun ini tak semudah lazatnya aku menelan ABC,
Hingga menelan susu yang menjadi musuh itu pun tidak sesukar ini,
Dan semalam membuktikan,jalan ini bukan mainan,
Untuk pertama kalinya aku berkira-kira,
Fahamkah aku dengan apa yang diterangkan guruku,
Metamorfosis ku seakan menduga ketabahan,
Terasa seperti tak mampu aku berdiri sendiri lagi,
Tak sekuat langit yang menongkah bumi tanpa tiangnya.

Ku raih kekuatan,
Seyogianya aku bertindak seperti itu dari dahulu lagi,
Bukankah Allah telah menunjukkan jalan itu?
Bukankah panglima Islam memperoleh kekuatan laksana Tariq bin Ziyad yang memimpin tenteranya menakluki bumi Andalusia jua melakukan cara yang demikian,
Demi sebuah kekuatan dan keyakinan,
Nah,untuk apa bersungut sedangkah langkah belum dibuka,
Terpujilah nama-Mu duhai Allah-ku,
Semoga istiqamah menjadi kekasihku yang setia.

Pengubat rinduku telah tiba,
Tibanya mengubat sedikit kelukaan,
Tak sabar detik bertemu mu Husna,
Mahu saja pintu suka hati Si Doraemon itu aku ketuk,
Rinduku ibarat si burung yang berdecip-decip di pagi hari,
Tiada mahunya henti.

Monday, July 20, 2009

Susu.



Percaya atau tidak,
akibat botol susu yang dikebas Ayah 15 tahun lalu,
si anak menjadi si anti-susu.

Percaya atau tidak,
tatkala si Ibu menyiapkan secawan susu buat sarapan dahulu,
lebih separuh darinya akan mengalir ke sinki dapur.

Percaya atau tidak,
semasa usia menjengah 17 tahun,
barulah si anti-susu belajar mengenal milo bercampur susu cair.

Percaya atau tidak,
si anti-susu bertahun lamanya telah meneguk 1 mug susu semalam,
bau susu bukan lagi dugaan.

Percaya atau tidak,
lidah sudah kebal dengan rasanya.

Percaya atau tidak,
si anti-susu bakal beli 1 paket susu tepung Anlene,insyaAllah,
dan si anti-susu tak perlu risau lagi kalau perlu untuk meneguk Anmum kelak (apakah),
jua si anti-susu tak perlu malu-malu lagi di hadapan mereka.

Terima kasih Kak Nurul sabar menanti kita untuk menghabiskan susu Anlene akak itu :D Buat Encik Afifi,kamu jua perlu belajar jadi penggemar susu.Kamu calon baru pesakit gastrik,syafakallah.

Thursday, July 16, 2009

Kerana aku pernah.

Pernah hati berasa,
bahawa diri kamu lemah?
dan kamu malu kerana menjadi kerisauan mereka.

Pernah kamu berlari dari pahit sejarahmu semalam,
tapi kamu sebenarnya masih lagi terpaut padanya,
walau diri tak rela.

Pernah kamu takut,
bila si Ibu terus-terusan risau akan dirimu,
dan nadanya menjadi bukti,
dan kamu takut kerana firasatnya bukan mainan.

Pernah kamu rasa,
diri yang tak seperti mereka,
seolah ada cacat yang memisahkan,
seakan ada sumbang yang kedengaran.

Pernah kamu merayu,
"tolong jangan mengeluh,
tolong jangan menangis,
tolong jangan mengenang",
kerana kenangannya seperti buih bersalut lumpur.

Ini bukan cerita cinta,ini bukan cerita puisi.Ini cerita hati yang bicaranya tidak bersuara,yang tuturnya bisu,yang tangisnya kering.Tolong doakan keselamatan diri :)

Sunday, July 12, 2009

Untuk Kamu.

Apabila soal hati dibangkitkan,mata akan fokus,telinga akan dibuka seluasnya,konsentrasi ditumpukan.Demi menjadi pendengar yang baik walau aku bukan insan yang selayaknya,aku mencuba.

Kita tidak akan selamanya menjadi penjaga hati mereka yang setia,yang akan selamanya mampu melindungi mereka dari dilukai,seperti seorang ibu yang mampu bertarung nyawa hatta hingga kali yang kesepuluh,yang akan melukakan diri walau tahu ia mengundang perit.Jadi,yang hanya mampu aku ungkapkan untuk kamu,jadilah diri kamu yang sebenarnya,yang mencuba memberi kebahagiaan dirimu.Kerana tiada yang mahu memahami kita melainkan kita sendiri.Hanya itu.Kerana aku percaya dengan apa yang aku percaya dan aku lakukan apa yang aku percayai.

Kadangkala,kepercayaan merupakan sesuatu yang sangat berharga.Mak adalah insan yang sering mengajar aku tentang percaya.Percaya yang kita mampu bangkit dari jatuh yang sakit,bangkit dari sedih yang tak akan memujuk,bangkit kerana hari esok masih menanti untuk kita corakkan.Dan aku juga percaya,ujian bukan pematah harapan,hujan gerimis kelak akan mewarnai langit dengan warnanya yang tujuh,si pelangi.Jangan pernah letih dengan hidup :)
Ini rumah baru,seperti yang telah dijanjikan dengan Hana.Selesa dan it's more than enough,Alhamdulillah.








Percaya dan lakukan ia!

Friday, July 10, 2009

Current.

Semalam telah selesai satu operasi mengemas bilik dengan tangan yang sedikit tersiat kulitnya akibat menggunakan test pen untuk memasang rak buku.Alhamdulillah,bilik sudah kemas dan selesa untuk pertapaan satu sem ini.Hidangan tengahari tadi sangat sedap ditaja Kak Nurul yang bakal menikah November ini insyaAllah.Azamnya mahu menuntut ilmu dapur dari Kak Nurul :D

Dan class Arab sekali lagi aku dipertemukan dengan sifu part 1,Ustaz Muhammad.Menariknya,Uztaz minta aku jadi bendahari sementara,mengutip duit buku kerja kami.Dan kebetulan ada seorang yang aku kira sebaya ayah,mungkin pelajar PLK juga dalam class kami.Students yang lain aku tahu namanya,mudah untuk direkodkan,tetapi pak cik ini,bagimana ya?Lalu,aku memilih untuk menulis sahaja "Pak cik" dan diserahkan list name pada Ustaz.Dan ustaz pun tersenyum melihat nama yang akhir sekali itu.Kata Ustaz kepada Pak cik,

"Minta maaflah,dia tulis pak cik pulak"

Kemudian Komie,Dora,Hafsah dan Hawa membuat pakatan ketawa bersama.Saya tahu saya blur :) selesai class,menerima mesej dari Encik Afifi yang katanya punya hadiah untuk aku.Wow!Kapan pula aku akan pulang ke rumah untuk menuntut hadiahnya? :(

Monday, July 6, 2009

Moga yang terbaik.

Ringkas.

Keputusan dibuat,mengikut kata hati dan sedikit rasional.Setelah ditimbang tara,aku memilih untuk tidak memohon kolej lagi.

Kerana,

Keputusan rayuan kolej belum tentu berpihak pada aku.Benar,belum cuba belum tahu.Tapi dalam tempoh percubaan itu,adakah selamanya aku akan menumpang Dora.Tidak mahu rasanya memberatkan bahu beliau yang sudah cukup mungil itu.

Tambahan,

Perayu sudah cukup ramai.Bayangkan,ada yang baru menjejak kaki ke Shah Alam dan tidak tahu-menahu perihal rumah sewa sekitar sini sudah tidak punya kolej.Memikirkan mereka yang ibu bapanya hanya bergaji sekitar RM 1,600,aku nekad memberi ruang jika ada untuk mereka.

Lalu,

Terus berharap moga ini yang terbaik walau Mak kelihatan risau dengan keselesaan dan keselamatan aku di tempat baru.Bantuan encik Afifi yang setia sudah diminta dan sokongan sudah diperoleh.Moga redha Mak mengiringi,ameen.

p/s:Hus,jangan lupa jenguk kita di sini ok! :D